KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan telah merakam keterangan tiga individu berhubung dakwaan kes gangguan seksual terhadap seorang wanita melibatkan ketua pengarah sebuah agensi penguat kuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, individu yang dipanggil adalah seorang suspek lelaki, pegawai khas kepada suspek, dan mangsa, yang merupakan seorang wanita Melayu.

Jelas beliau, polis turut merampas telefon bimbit milik suspek, selain beberapa lagi saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan.

"Kita dalam rangka (panggil) beberapa lagi saksi yang boleh membantu kita dalam siasatan ini. Semalam polis ambil keterangan suspek pada jam 2.30 petang dan selesai sekitar 4 petang iaitu hampir dua jam.

"Sama juga, biarkan kami selesaikan siasatan terhadap kes ini supaya ia tidak menimbulkan spekulasi," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman, SAC Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 507A Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 232 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, tular satu salinan laporan polis oleh seorang wanita berusia 39 tahun yang bertugas sebagai penasihat kewangan, yang dibuat di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, pada 14 Nov lalu.

Laporan berkenaan menyebut bahawa wanita itu menjadi mangsa kepada gangguan seksual seorang ketua pengarah bergelar Datuk.

Selain mengeluarkan kata-kata berbaur lucah, ketua pengarah terbabit juga didakwa telah beberapa kali mengajaknya untuk berjumpa di hotel dan pusat karaoke, namun ditolak olehnya.

Sementara itu, berhubung kes penghinaan terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Mohd Shuhaily berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Razali Idris dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, iaitu menyebut apa-apa perkataan hasutan.

Jelas beliau, hukuman yang diperuntukkan di bawah kesalahan tersebut ialah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Media melaporkan, Razali, yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim.

Tertuduh sebelum ini didakwa menyebut perkataan menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara 9.30 dan 11.30 malam pada 10 Nov lepas.